Rabu, 15 Januari 2014

JASAMU TETAP DIKENANG

JASAMU TETAP DIKENANG

Selamat bertugas di stesyen sekolah yang baharu kepada rakan guru yang telah lama berkhidmat di sekolah ini.
        a) Mdm Litad Balang                 - berpencen pilihan
        b) Encik Abu Kassim bin Besar - berpindah ke SK Batu Danau, Limbang
        c) Puan Bibi bt Brahim               - berpindah ke SK St Edmund, Limbang
        d) Ustaz Mohd Asri bin Ibrahim - berpindah ke SK Menuang, Limbang

walaupun berada di sekolah atau telah berpencen jasa kalian masih dikenang sampai bila-bila oleh rakan sejawat mahu pun pelajar di sekolah ini.

        Kalau ada sumur di ladang,
        Bolehlah kita menumpang mandi,
        Kalau ada umur nan panjang,
        Bolehlah kita bersua kembali.

       


KARANGAN FAEDAH MEMBACA

          Membaca adalah satu amalan yang terpuji dan patut dijadikan amalan setiap orang. Banyak faedah yang akan diperoleh jika seseorang itu mengisi masa lapangnya dengan membaca.
          Bahan-bahan bacaan banyak terdapat di negara kita seperti akhbar, majalah, buku dan lain-lain lagi. Di dalamnya termuat beraneka maklumat mengenai hal-hal yang wujud dan yang berlaku di seluruh dunia. Jadi, dengan membacanya pengetahuan kita akan bertambah. Kita dapat mengetahui perihal satu-satu bangsa, istiadat, sejarah, kepercayaan, kebudayaan dan berbagai lagi. Dengan cara ini persefahaman kita dengan kaum yang lain dapat dijalin dengan baik.
          Di samping menambah pengetahuan, kita juga dapat mengikuti perkembangan dan kejadian yang berlaku di dalam dan luar negeri. Melalui bacaan surat khabar dan majalah kita dapat mengetahui pergolakan yang berlaku di negara lain seperti peperangan, pemogokan, tunjuk perasaan, dan lain-lain. Kita dapat membandingkannya dengan negara kita. Dengan itu kita menjadi insaf dan sedar bahawa kita semua sangat beruntung kerana negara kita sentiasa aman dan tidak bergolak.
           Selain daripada itu, kita juga dapat mengetahui perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain dalam bidang sains dan kita dapat mengetahui hasil ciptaan mereka dan bagaimana mereka dapat menyelesaikan masalah ekonomi negara. Pengetahuan ini mungkin berguna kepada kita. Mana-mana yang sesuai untuk kemajuan dan kesejahteraan negara kita bolehlah kita contohi dan pelajari.
              Di samping itu, banyak membaca juga mendatangkan faedah besar kepada pelajar sekolah. Kebanyakan pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan adalah pelajar yang banyak membaca. Dengan pengetahuan yang didapati daripada pembacaan mudahlah pelajar itu dapat menjawab apa-apa jua soalan. Dengan itu, akan tercapailah segala cita¬citanya untuk mendapat kecemerlangan.
           Sesebuah negara yang rakyatnya banyak membaca akan bangkit menjadi negara yang cepat maju kerana daripada pembacaan itu mereka sentiasa mendapat ilmu-ilmu baharu. Dengan ilmu itu dapatlah mereka membuat perubahan ke arah kemajuan dan kejayaan dalam apa jua bidang seperti pelajaran, pembangunan, ekonomi, sosial, kebudayaan dan berbagai lagi. Negara akan beruntung jika mempunyai rakyat yang berilmu pengetahuan lagi progresif. Jadikanlah membaca sebagai suatu amalan hidup.

Rabu, 21 Ogos 2013

LOGO SEKOLAH DAN MAKSUDNYA





Warna Hijau melambangkan
persefahaman segenap komuniti atau kampung setempat

Warna Biru melambangkan
kerajinan dan semangat dedikasi guru, staf, dan pelajar

Warna Putih melambangkan
kesucian hati dan nilai murni yang diamalkan di sekolah

Lambang Bendera Sarawak
melambangkan salah satu sekolah di negeri Sarawak

Effort Brings Success
melambangkan cogan kata “Usaha Tangga Kejayaan”


Lambang
Pokok Padi
melambangkan pekerjaan utama penduduk setempat
dan kerjasama komuniti tempatan

SK Sungai Poyan
Nama sekolah

Selasa, 13 Ogos 2013

KOLEKSI SOALAN PERCUBAAN UPSR TAHUN 2013



Koleksi Soalan Percubaan UPSR Tahun 2013

Soalan Percubaan UPSR Tahun 2012 boleh didapati di sini

Peperiksaan percubaan UPSR tahun 2013 agak kurang mendapat sambutan pada kali ini. Maksud admin ialah perkongsian soalan tersebut. kurang meriah mungkin disebabkan suasana Hari Raya Aidilfitri dan bulan Syawal yang menyebabkan kesuntukan masa di kalangan guru dan juga banyak pihak PPD / JPN tidak membuat soalan secara selaras lagi. Ada beberapa koleksi yang admin akan kongsikan dan bahan / sumber asal adalah dari perkongsian di internet seperti di KGMSR, KGM dan sebagainya. 


Pada masa ini admin sedang berusaha mengumpul seberapa banyak soalan percubaan dari pelbagai sumber. Jika anda tidak keberatan, sila hantarkan ke email ke sksgpn@yahoo.com  Sumbangan anda didahului dengan ucapan terima kasih.