Assalamualaikum wm..wbt.. dan salam sejahtera..
Yang dihormati,
Para pembaca blog sekalian
Saya
ingin melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan
limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru tahun
ini. Semoga hari yang penuh bermakna bagi warga pendidik di setiap ceruk sekolah
disambut dalam suasana yang ceria, harmoni dan menyeronokkan.
Saya
ingin mengambil kesempatan dan peluang pada hari ini untuk mengucapkan Selamat
Hari Guru dan Terima kasih Cikgu buat semua guru. Guru-guru dilihat begitu dedikasi, jujur dan ikhlas dalam
melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Mereka telah
mendidik, mengajar, membimbing malah turut mengasuh murid-murid agar menjadi
insan yang harmonis.
Bertepatan
dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu Guru Malaysia: 1 aspirasi, 1 agenda,
peranan guru dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara harus bergerak
seiring dengan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak ibarat
kain putih yang bersih maka sememangnya ibu bapalah yang harus mencorakkannya.
Namun, ibu bapa turut meletakkan harapan yang tinggi agar anak-anak
mereka turut memiliki sahsiah yang sempurna semasa di sekolah.
Kerana
apa? Kerana di sekolahlah, anak-anak ini berpeluang untuk mengembangkan bakat,
kebolehan, kecenderungan, mengeluarkan pendapat, berkomunikasi dan berinteraksi
dengan rakan-rakan sebaya. Peluang tersebut tidak mereka miliki semasa mereka
berada di rumah atau bersama keluarga. Lebih-lebih lagi apabila para guru
dijadikan sebagai role model kepada keberkesanan pendidikan untuk
murid-murid di sekolah dan masyarakat
Selaku pentadbir sekolah, saya turut merasakan betapa pentingnya sambutan hari guru diadakan pada
16 Mei setiap tahun. Sambutan
hari guru ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan tentang peranan guru
yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa Malaysia. Justeru,
wajarlah bagi murid-murid, ibu bapa dan masyarakat meraikan sambutan hari guru
. Inilah cara yang terbaik untuk melahirkan rasa terima kasih, penghargaan dan
penghormatan terhadap jasa insan yang tidak ternilai yang bernama guru.
Kepada semua
murid yang saya kasihi sekalian, hargailah jasa para guru.
Setiap
insan di dunia ini belajar daripada seorang guru. Tanpa guru kita tidak akan
boleh membaca, menulis dan menguasai ilmu. Guru ibarat lampu yang menerangi
kegelapan malam. Guru ialah insan yang mesti kita hormati selepas ibu bapa
kita. Menghormati dan mematuhi arahan guru adalah sangat dituntut agar apa yang
kita pelajari menjadi berkat dan dirahmati Illahi.
Jika hari ini
seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini
seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini
seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini
seorang ulama yang mulia
Jika hari ini
seorang peguam menang bicara
Jika hari ini
seorang penulis terkemuka
Jika hari ini
sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya
dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut
sabarnya mengajar tulis-baca-melukis-mengira.
Kepada
semua para pendidik, jasa, bakti dan pengorbanan yang cikgu berikan amat
dihargai dan disanjung tinggi. Sama-samalah kita memanjatkan doa agar semua
guru di bumi ini diberi kekuatan, kegigihan dan kesihatan agar
dapat melaksanakan tugas yang mulia ini.
Kalau tinggi Gunung Everest,
tinggi lagi budimu, cikgu.
Kalau dalam lautan Atlantik,
dalam lagi jasamu, cikgu.
Kalau harum bau kasturi, harum
lagi pengorbananmu, cikgu.
Terima kasih cikgu,
Sebagai
mengakhiri kata-kata, dengan lafaz
saya dengan ini
MERASMIKAN majlis sambutan hari guru Blog SK Sungai Poyan, Limbang bagi tahun 2013.
Sekian,
wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam........