Membaca adalah satu amalan yang terpuji dan patut dijadikan amalan setiap
orang. Banyak faedah yang akan diperoleh jika seseorang itu mengisi masa
lapangnya dengan membaca.
Bahan-bahan bacaan banyak
terdapat di negara kita seperti akhbar, majalah, buku dan lain-lain lagi. Di
dalamnya termuat beraneka maklumat mengenai hal-hal yang wujud dan yang berlaku
di seluruh dunia. Jadi, dengan membacanya pengetahuan kita akan bertambah. Kita
dapat mengetahui perihal satu-satu bangsa, istiadat, sejarah, kepercayaan,
kebudayaan dan berbagai lagi. Dengan cara ini persefahaman kita dengan kaum
yang lain dapat dijalin dengan baik.
Di samping menambah
pengetahuan, kita juga dapat mengikuti perkembangan dan kejadian yang berlaku di
dalam dan luar negeri. Melalui bacaan surat khabar dan majalah kita dapat
mengetahui pergolakan yang berlaku di negara lain seperti peperangan,
pemogokan, tunjuk perasaan, dan lain-lain. Kita dapat membandingkannya dengan
negara kita. Dengan itu kita menjadi insaf dan sedar bahawa kita semua sangat
beruntung kerana negara kita sentiasa aman dan tidak bergolak.
Selain daripada itu, kita juga
dapat mengetahui perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh negara-negara lain
dalam bidang sains dan kita dapat mengetahui hasil ciptaan mereka dan bagaimana
mereka dapat menyelesaikan masalah ekonomi negara. Pengetahuan ini mungkin
berguna kepada kita. Mana-mana yang sesuai untuk kemajuan dan kesejahteraan
negara kita bolehlah kita contohi dan pelajari.
Di samping itu, banyak
membaca juga mendatangkan faedah besar kepada pelajar sekolah. Kebanyakan
pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan adalah pelajar
yang banyak membaca. Dengan pengetahuan yang didapati daripada pembacaan
mudahlah pelajar itu dapat menjawab apa-apa jua soalan. Dengan itu, akan
tercapailah segala cita¬citanya untuk mendapat kecemerlangan.
Sesebuah negara yang rakyatnya
banyak membaca akan bangkit menjadi negara yang cepat maju kerana daripada
pembacaan itu mereka sentiasa mendapat ilmu-ilmu baharu. Dengan ilmu itu dapatlah
mereka membuat perubahan ke arah kemajuan dan kejayaan dalam apa jua bidang
seperti pelajaran, pembangunan, ekonomi, sosial, kebudayaan dan berbagai
lagi. Negara akan beruntung jika mempunyai rakyat yang berilmu pengetahuan lagi
progresif. Jadikanlah membaca sebagai suatu amalan hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan